Wednesday, June 10, 2009

Bantahan kerana tidak setuju dengan "USUL PAS"

Kita kena berhati-hati dan menerangkan dengan sebaik mungkin agar tidak ada kekeliruan.....

Yang pasti SIS mesti dihapuskan dan masyarakat di luar faham kenapa....?

_______________________


Kenyataan Ahli Parlimen Klang.
Charles Santiago, DAP.

Sahabat sekalian,

Sila menyertai saya dalam menyokong kenyataan berikut dengan tujuan melindungi dan menggalakkan pernyataan serta pendapat-pendapat alternatif.

PENYATAAN BERSAMA OLEH PERSATUAN-PERSATUAN SIVIL MALAYSIA TERHADAP RESOLUSI PAS UNTUK MENGHARAMKAN SISTERS IN ISLAM

Kami penandatangan di bawah amat terganggu dengan usul Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mahu agar Sisters in Islam (SIS) diharamkan dan ahli-ahlinya dipaksa menjalani proses pemulihan jika aktivitinya didapati bertentangan dengan Shariah Islam. Pada hemat kami, dengan membuat usul sebegini, PAS telah pun membuat anggapan bahawa SIS harus diharamkan dan aktivitinya dihentikan.

Kami menghormati kebebasan ahli-ahli PAS untuk berpesatuan dan menyuarakan pandangan mereka. Sedemikian juga, ahli-ahli SIS atau ahli mana-mana pertubuhan lain harus diberikan jaminan atas kebebasan yang sama. Dalam hal-hal kepentingan awam, tiada satu individu atau pertubuhan pun yang boleh memonopoli hak menyuarakan pandangan.

Desakan untuk mengharamkan SIS dan memaksa ahli-ahlinya menjalani proses pemulihan adalah suatu tindakan yang mencabul kebebasan-kebebasan yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Telah banyak terdapat undang-undang anti-kebebasan bersuara di Malaysia, justeru desakan PAS sebegini akan mengakibatkan ruang perdebatan awam yang sememangnya kecil menjadi terus tertutup.

Bagi menjadikan Malaysia lebih matang dalam mengamalkan demokrasi yang kita aspirasikan, amatlah penting agar konsep kepelbagaian dilindungi dan terus dipupuk, dan ini termasuklah kepelbagaian pandangan. Oleh demikian, adalah sangat penting kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, samada terhadap ahli-ahli PAS atau mana-mana pertubuhan atau individu lain, dihormati.

Desakan untuk mengambil tindakan terhadap SIS yang boleh mengakibatkan pengharamannya adalah tidak sejajar dengan retorik PAS yang mahukan Malaysia yang demokratik dan inklusif. Sebaliknya, desakan ini sama sekali tidak demokratik.

Kami ingin menekankan bahawa walaupun ahli-ahli PAS berhak menyuarakan pandangan mereka, namun desakan untuk mengharamkan SIS tidak boleh diterima langsung. Secara prinsipnya, tidak harus timbul persoalan untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan pertubuhan tersebut. Kepelbagaian pandangan mestilah dihormati dan sebarang perselisihan pendapat hendaklah diselesaikan dengan perbincangan yang matang dan membina.

Dengan ini, kami mendesak PAS untuk menimbangkan semula pendiriannya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menarik semula usul terhadap tindakan ke arah pengharaman SIS.

No comments: