Sunday, July 27, 2008

PAS mungkin akan sukar dipercayai lagi selepas ini?

Apa yang saya tulis diblog ini adalah pendapat peribadi saya. Saya tidak menulis atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat. Tulisan ini menggambarkan betapa frustnya saya ( dan mungkin juga ahli-ahli PAS yang lain ) apabila Dato’Presiden PAS mengakui bahawa terdapat pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen .

Terus terang sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat ,saya tidak mempunyai pengetahuan langsung pertemuan antara Timbalan Presiden PAS dengan Presiden UMNO di Parlimen. Presiden PAS menyatakan ianya dimaklumkan kepada beliau dan Majlis Syura Ulama’.

Saya kurang faham dengan alasan ini. Setahu saya Majlis Syura akan hanya dilibatkan jika isu ini melibatkan soal hukum. Saya tidak nampak pertemuan dengan UMNO melibatkan soal hukum . Ia lebih kepada isu strategi- di bawah bidangkuasa Jawatankuasa PAS Pusat.

Tidak mengapa, saya akan bertanyakan hal ini di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat nanti.

Saya tidak pernah percaya kepada UMNO. Atas dasar itu saya menyokong PAS sejak dibangku sekolah lagi . Saya orang Johor. Saya menyokong PAS ketikamana orang di negeri saya masih memandang PAS sebagai satu parti yang begitu asing. Saya menyokong PAS kerana yakin bahawa Parti tersebut ingin mendaulatkan Islam. UMNO adalah parti yang banyak jenayahnya terhadap Islam. Kesalahan ulung UMNO adalah mencipta Islam hadhari. Presiden PAS menulis sebuah buku bagi menyerang Islam Hadhari kerana Islam Hadhari telah membawa umat Islam keliru dengan Islam yang diajar oleh Allah dan RasulNya.

Pilihanraya yang lepas UMNO bermatian-matian ingin merampas Kelantan- sebuah negeri yang diperintah oleh PAS . Kelantan adalah benteng terakhir untuk Islam didaulatkan di negara ini. Saya mengakui saya masih belum berpuashati dengan perlaksanaan Islam di Kelantan. Gelagat sesetengah pemimpin PAS di Kelantan amat memualkan hati saya meskipun saya adalah ahli dan pemimpin PAS. Kelantan bukan model yang terhebat di dalam mendaulatkan Islam di negara ini. Ini tidak pelik kerana berdasarkan sistem federalism yang diamalkan di negara ini kuasa Kerajaan Kelantan untuk menegakkan Islam di dalam erti kata yang sebenarnya terhalang oleh banyak halangan . Namun siapa boleh menafikan bahawa Kelantan telah banyak berusaha melaksanakan Islam yang jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum PAS mengambil alih pada tahun 1990.

Saya penuh yakin Tuan Guru Nik Aziz telah berusaha keras untuk mendaulatkan Islam di Kelantan. Moga Allah merahmati beliau di atas usaha murninya itu.

Atas dasar itu saya sama sekali tidak boleh menerima tindakan UMNO yang bermatian-matian ingin merampas Kelantan dari PAS. Sahabat saya Y.B Salahudin menyatakan kepada saya semasa tempoh kempen pilihanraya yang lalu, beliau dapat merasakan betapa cemasnya pemimpin PAS dengan serangan hebat UMNO yang ingin merampas balik Kelantan.

Bagaimanapun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Hasrat dan niat jahat UMNO ingin merampas Kelantan menyaksikan Kerajaan PAS kekal dengan selesa di Kelantan sebaliknya lima buah negeri yang diperintah oleh BN/UMNO sebelum pilihanraya yang lepas dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga tidak akan lupa betapa jahatnya UMNO menggunakan taktik paling kotor untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Trengganu. Rakyat Trengganu yang menyokong PAS didera dengan hebat seperti menarik balik royalti petroleum. Menteri Besar Trengganu yang sekarang ini dan UMNO Trengganu juga tidak pernah bersuara menentang tindakan zalim UMNO Pusat menarik balik royalti petroleum. Kini lepas Mahathir tidak berkuasa baru mula berani bercakap. Saya tidak hormati langsung Menteri Besar seperti ini. Apabila Pemimpin Pas Trengganu berjumpa beliau baru-baru ini ianya amat memualkan saya.

Telah menjadi pengetahuan umum sokongan orang bukan Islam menentukan kemenangan Pakatan Rakyat dan menumbangkan UMNO/BN. Meskipun media tajaan UMNO tidak henti henti cuba melakarkan PAS sebagai parti yang melampau/ekstrem dan pelbagai lakaran yang negatif, orang bukan Islam tetap menyokong PAS. Sokongan kaum India menyebabkan Dr Mariah menjadi calon PAS yang menang dengan manjoriti yang paling besar . Meskipun saya kalah di Tangjung Karang namun sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada saya.

Sokongan kaum non muslim kepada PAS Alhamdulillah berterusan selepas pilihanraya. Di Puchong telah ada penyokong PAS dari kaum India yang telah memeluk Islam. Ini satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Ada kaum India yang membubarkan cawangan MIC dan menubuhkan kelab penyokong PAS. Calon tajaan PAS di Ulu Tiram , Johor saudari Kumutha meminta ahli PAS mendoakan agar beliau terus bersama kepimpinan Ulama PAS. Permintaan kaum bukan Islam untuk menubuhkan kelab penyokong PAS semakin hari semakin meningkat. Malahan ahli-ahli kelab penyokong PAS merayu ingin menjadi ahli PAS dan meminta PAS bertindak segera menerima mereka sebagai ahli.

Malangnya semuanya ini kini mula bertukar sedikit demi sedikit apabila PAS terjebak sekali lagi dengan permainan licik UMNO. UMNO mencanangkan dan memainkan gendang muzakarah. PAS yang kita tahu dipimpin oleh orang-orang yang baik malangnya termakan dengan umpan jahat dan busuk UMNO. Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja baik dan digelar Al-Amin, Baginda juga mempunyai sifat fathonah ( bijaksana ). Di dalam politik fathonah amat berguna.

Orang bukan Islam mula bertanya adakah PAS telah mengkhianati sokongan mereka. Semasa pilihanraya lalu kami menolak politik perkauman UMNO dan tertarik dengan mesej PAS iaitu “PAS FOR ALL” yang sesuai dengan sifat Islam yang universal. Tapi, keluh orang bukan Islam, kenapakah PAS kini mula bercakap senada dengan UMNO. Hanya beberapa bulan pilihanraya berlalu, kenapakah PAS bersedia merapati UMNO semula. UMNO yang semakin lemas kini cuba diselamatkan oleh PAS.

Ini keluhan yang serius. Pemimpin PAS khususnya Presiden dan Timbalannya harus peka dengan keluhan ini . Meringankan hal ini “is at our own peril”

Ya, Pakatan Rakyat adalah satu Pakatan yang longgar. Banyak kelemahan di sana sini. KEADILAN ada kelemahannya. DAP ada kelemahannya. PAS juga ada kelemahannya. Tetapi di sana ketiga-tiga Parti tersebut ada kekuatan yang dikongsi bersama. Kekuatannya adalah ketiga-tiga benci dan menentang kezaliman yang UMNO lakukan. Ketiga-tiganya bencikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketiga-tiganya menjuarai isu rakyat Ketiga-tiganya sedang berusaha keras ingin menunaikan janji kepada rakyat sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto mereka. Kekuatan inilah yang akan melahirkan satu ledakan yang kuat yang akan menghancurkan UMNO pada masa pilihanraya umum yang akan datang.

Saya tidak pasti orang bukan Islam, Parti KEADILAN dan DAP akan terus mempercayai PAS selepas ini. Saya harap mereka masih percaya. Tapi secara realistik saya yakin mereka ,kalau pun tidak hilang kepercayaan kepada PAS , tetap kurang percaya kepada PAS.

Kalau mereka hilang kepercayaan kepada PAS saya berani mengatakan ianya akibat percaturan salah sesetengah pemimpin PAS dan PAS terpaksa membayar harga yang mahal terhadap percaturan salah tersebut.

Adakah PAS boleh dianggap mengkhianati sokongan orang bukan Islam ? Hanya masa yang menentukan !!!

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

http://peguampas.blogspot.com/2008/07/pas-mungkin-akan-sukar-dipercayai-lagi.html

Wednesday, July 23, 2008

Apa dah jadi? Ada ke team A, team B atau team C???

Saya cuma ingin menarik perhatian bahawa, kenapa adanya penerokaan kepada muzakarah/muqobalah PAS dan UmNo.

Kenapa beberapa nama pemimpin yang dikategorikan a dan b (dalam blog malaysia waves) ditimbulkan dan tersebar dalam banyak blog... pada saya isinya ada asas terutama pemimpin dalam categori "a" yang terdesak untuk mendapatkan semula tempat dalam politik arus perdana sekarang ini. Ini tambah pula kepada penyertaan timb presiden hingga dinyatakan ditawarkan TPM, jika tiada penerokaan awal maka tiadalah konflik dan berbagai pandangan sebegini.

So, pada saya kebenaran penerokaan awal ini telah terbukti, walau kita kata macam2 pada paklah dan umno yang terburu2 mendedahkan perkara ini, tetapi kalau pemimpin kita jujur pada ahli dan parti mereka terlebih awal inform, tapi disebabkan termakan dengan tawaran yang menarik itu maka mereka pendamkan.

Saya yakin dengan berita yang ditulis dalam blog berkenaan nama pemimpin yang hampir expired dan pemimpin kelas "b", pada saya mereka ini terliur dengan elaun menteri yang bernilai belasan ribu sebulan, sebab pada mereka elaun ahli parlimen pembangkang berapa lah sangat. Bukan saya menuduh tapi tengok kepada senario pecahnya rahsia muzakarah ini. Kenapa peringkat awal nafi , tetapi bila PM pecah tembelang baru nak mengaku ada 3 pertemuan....Masya ALLAH

Tidak dinafikan dalam majlis syura , kekadang muryid am pun tuang meeting, tetapi jika dilihat dari kenyataan beliau yang konsisten menolak saya rasa itu ada asas. tetapi kenyataan naib presiden (exco berbaju petak merah) saya tak ambil peduli sangat, sebab dia pun aim mb kelate tu..... Harap dia tak dapat.

Ok sebagai last, mana2 yang jadi perwakilan dalam muktamar di ipoh pada ogos ni, sila timbulkan tentang penama yang didedahkan dalam blog iaitu pemimpin kategori "a" dan "b".Kalau nak sangat jadi menteri sila keluar dengan MP sekali, sejarah pas kita pernah ada satu kerusi dalam parlimen, dan pernah keseorangan, tak pe, kita juga pernah hilang n/pres, nakhaie, masuk umeno, tapi parti terus juga berjalan.

Tim. pres yang menang atas ehsan rakyat kelantan sila beringat, rakyat kelantan pun ada integriti juga, jangan ingat keterbukaan kita dalam mengundi calon luar boleh berterusan sepanjang masa. Musim ni ada 4 calon luar sebagai MP, 1 adun sebagai Exco, cukup la tu. tak tahu lah saya jika ada orang kelate dalam groups ni yang setuju.

So, boleh lah tutup cerita pasal muzakarah ni hingga mukatamar mid august ni. harap ada penghujung dan pemimpin "a" dan "b", sila sedar dimana mereka berada. parti tak kuat kalau tak ada pendokong dan penyokong, macam PSM pemimpin kuat ahli tak ada...... no meaning.

BOLEHKAH PAS DITIPU LAGI?

Demi Allah! Saya tidak bermain politik:

Demikian ungkapan sumpah Perdana Menteri Tun Hussein Onn semasa berucap di parlimen bagi penubuhan MAGERAN di Kelantan yang membawa kepada peyingkiran PAS dari Barisan National pada tahun 1977.

Kini setelah berada dalam keadaan terdesak, UMNO mula sedar bahawa mereka memerlukan pihak lain yang selama ini dipencilkan bagi mengukuhkan kembali kedudukannya. Sebelum ini UMNO merasakan dirinya tidak mungkin tergugat kerana dikelilingi oleh rakan-rakan kongsi bukan Melayu yang berada dalam komponen BN. Namun jaminan tersebut nampaknya tidak dapat dipertahankan setelah ramai rakan dalam komponen turut kecundang dalam PRU 12 dan nampaknya tiada tanda-tanda dapat dipulihkan dalam masa terdekat ini.Justeru itu, UMNO mula menoleh kepada PAS, regu lawan seagama dan sebangsa yang pernah dilabelkan sebagai musuh nombor satunya dan suatu ketika dulu disifatkan lebih bahaya dari komunis. Mungkin kini baru timbul kesedaran baru kepada UMNO bahawa saudara seagama dan sebangsa walau pun bermusuhan, namun berguna juga akhirnya, terutama ketika menghadapi suasana yang mencemaskan.

Bertolak dari keinsafan itu, UMNO mula merisik kalau-kalau masih ada harapan untuk berbaik semula dengan PAS. Menerusi media massa yang merupakan alat propagandanya yang berpengaruh, UMNO mencanangkan isu kerjasama dengan PAS kononnya demi untuk kepentingan Melayu dan Islam. Pandangan pemimpin dan orang awam dicungkil untuk mewajarkan gagasan tersebut direalisasikan dengan segera. Ramai penulis digunakan untuk menghangatkan dada akhbar dengan idea penyatuan Melayu menerusi gagasan baru yang membabitkan UMNO-PAS. Sungguh indah bunyinya.

PAS diminta melupakan sejarah pahitnya semasa disepak dan diterajang olah UMNO dan kembali bertaut sebagaimana kiambang yang pernah dilanda biduk. Senyum manis UMNO yang menawan sebenarnya menggetarkan iman PAS sehingga terlupa sejenak bahawa mereka kini sedang berada dalam kem yang berlainan wadah.

Sebenarnya keikhlasan UMNO untuk bekerjasama dengan PAS demi kepentingan Melayu dipertikai oleh banyak pihak. Jika UMNO benar-benar ikhlas, kenapa memilih PAS sahaja, tetapi tidak dijemput sama parti Keadilan Rakyat? Apakah parti tersebut tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu? Andainya UMNO-PAS disatukan, apakah masalah perpaduan Melayu selesai tanpa penyertaan Keadilan yang kini sedang menembang sayapnya? Ini belum lagi termasuk parti sepihan PAS yang mungkin tertubuh ekoran tindakan PAS berkungsi dengan UMNO.

Sekarang Tengku Razaleigh beria-ia benar agar UMNO dan PAS mengadakan kerjasama. Kenyataan mengarut itu tidak lebih dari usaha untuk memenangi diri dalam pemilihan Disember ini. Bagi rakyat Kelantan, Tengku Razaleighlah antara yang bertanggungjawab menyebabkan PAS dihalau secara biadab dari BN dengan tujuan untuk merampas Kelantan dari PAS.

Kemudian setelah tersingkir dari UMNO dan menubuh parti Semangat 46, beliau sanggup bersama dengan PAS buat beberapa ketika tetapi akhirnya berpisah semula dan kembali kepada UMNO setelah membubar partinya sendiri. Sebab perpisahan kerana kononnya tidak sebulu dan tidak secocok dengan PAS.

Jika begitu pendiriannya, buat apa mengajak PAS berbaik semula sekarang. Tengku Razaleigh dan seluruh ahli PAS termasuk pemimpinnya perlu imbas kembali peristiwa tersebut kerana ianya masih segar dalam ingatan masyarakat Kelantan.

Kini Tuan Guru Menteri Besar Kelantan mengulas tentang muzakarah UMNO-PAS yang banyak diperkatakan di media massa dan media elektronik. Sebagai orang tua yang matang dalam PAS, beliau sedar apa yang telah berlaku terhadap parti tersebut sebelum ini. Sebab itu kenyataannya cukup berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pemimpin UMNO patut menilai kenyataan tersebut sebab ia merupakan persepsi PAS terhadap UMNO.

Soalnya sekarang, patutkah PAS menyahut saranan UMNO untuk bekerjasama dan bermuzakarah tanpa restu anggota PR yang lain? Majoriti terbesar golongan akar umbi PAS yang sempat ditinjau berpendapat bahawa saranan tersebut tak perlu dilayan. Sebaliknya PAS perlu merangka agenda bersama PR demi untuk merubah masa depan negara yang kini hampir musnah di tangan BN.

Jika bahtera UMNO ditakdirkan tenggelam, biarlah ia pergi dengan selamat, sementara anak buahnya bolehlah dipelawa menyertai PAS atau Keadilan bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai itu.

Oleh othimbra