Wednesday, July 23, 2008

BOLEHKAH PAS DITIPU LAGI?

Demi Allah! Saya tidak bermain politik:

Demikian ungkapan sumpah Perdana Menteri Tun Hussein Onn semasa berucap di parlimen bagi penubuhan MAGERAN di Kelantan yang membawa kepada peyingkiran PAS dari Barisan National pada tahun 1977.

Kini setelah berada dalam keadaan terdesak, UMNO mula sedar bahawa mereka memerlukan pihak lain yang selama ini dipencilkan bagi mengukuhkan kembali kedudukannya. Sebelum ini UMNO merasakan dirinya tidak mungkin tergugat kerana dikelilingi oleh rakan-rakan kongsi bukan Melayu yang berada dalam komponen BN. Namun jaminan tersebut nampaknya tidak dapat dipertahankan setelah ramai rakan dalam komponen turut kecundang dalam PRU 12 dan nampaknya tiada tanda-tanda dapat dipulihkan dalam masa terdekat ini.Justeru itu, UMNO mula menoleh kepada PAS, regu lawan seagama dan sebangsa yang pernah dilabelkan sebagai musuh nombor satunya dan suatu ketika dulu disifatkan lebih bahaya dari komunis. Mungkin kini baru timbul kesedaran baru kepada UMNO bahawa saudara seagama dan sebangsa walau pun bermusuhan, namun berguna juga akhirnya, terutama ketika menghadapi suasana yang mencemaskan.

Bertolak dari keinsafan itu, UMNO mula merisik kalau-kalau masih ada harapan untuk berbaik semula dengan PAS. Menerusi media massa yang merupakan alat propagandanya yang berpengaruh, UMNO mencanangkan isu kerjasama dengan PAS kononnya demi untuk kepentingan Melayu dan Islam. Pandangan pemimpin dan orang awam dicungkil untuk mewajarkan gagasan tersebut direalisasikan dengan segera. Ramai penulis digunakan untuk menghangatkan dada akhbar dengan idea penyatuan Melayu menerusi gagasan baru yang membabitkan UMNO-PAS. Sungguh indah bunyinya.

PAS diminta melupakan sejarah pahitnya semasa disepak dan diterajang olah UMNO dan kembali bertaut sebagaimana kiambang yang pernah dilanda biduk. Senyum manis UMNO yang menawan sebenarnya menggetarkan iman PAS sehingga terlupa sejenak bahawa mereka kini sedang berada dalam kem yang berlainan wadah.

Sebenarnya keikhlasan UMNO untuk bekerjasama dengan PAS demi kepentingan Melayu dipertikai oleh banyak pihak. Jika UMNO benar-benar ikhlas, kenapa memilih PAS sahaja, tetapi tidak dijemput sama parti Keadilan Rakyat? Apakah parti tersebut tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu? Andainya UMNO-PAS disatukan, apakah masalah perpaduan Melayu selesai tanpa penyertaan Keadilan yang kini sedang menembang sayapnya? Ini belum lagi termasuk parti sepihan PAS yang mungkin tertubuh ekoran tindakan PAS berkungsi dengan UMNO.

Sekarang Tengku Razaleigh beria-ia benar agar UMNO dan PAS mengadakan kerjasama. Kenyataan mengarut itu tidak lebih dari usaha untuk memenangi diri dalam pemilihan Disember ini. Bagi rakyat Kelantan, Tengku Razaleighlah antara yang bertanggungjawab menyebabkan PAS dihalau secara biadab dari BN dengan tujuan untuk merampas Kelantan dari PAS.

Kemudian setelah tersingkir dari UMNO dan menubuh parti Semangat 46, beliau sanggup bersama dengan PAS buat beberapa ketika tetapi akhirnya berpisah semula dan kembali kepada UMNO setelah membubar partinya sendiri. Sebab perpisahan kerana kononnya tidak sebulu dan tidak secocok dengan PAS.

Jika begitu pendiriannya, buat apa mengajak PAS berbaik semula sekarang. Tengku Razaleigh dan seluruh ahli PAS termasuk pemimpinnya perlu imbas kembali peristiwa tersebut kerana ianya masih segar dalam ingatan masyarakat Kelantan.

Kini Tuan Guru Menteri Besar Kelantan mengulas tentang muzakarah UMNO-PAS yang banyak diperkatakan di media massa dan media elektronik. Sebagai orang tua yang matang dalam PAS, beliau sedar apa yang telah berlaku terhadap parti tersebut sebelum ini. Sebab itu kenyataannya cukup berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pemimpin UMNO patut menilai kenyataan tersebut sebab ia merupakan persepsi PAS terhadap UMNO.

Soalnya sekarang, patutkah PAS menyahut saranan UMNO untuk bekerjasama dan bermuzakarah tanpa restu anggota PR yang lain? Majoriti terbesar golongan akar umbi PAS yang sempat ditinjau berpendapat bahawa saranan tersebut tak perlu dilayan. Sebaliknya PAS perlu merangka agenda bersama PR demi untuk merubah masa depan negara yang kini hampir musnah di tangan BN.

Jika bahtera UMNO ditakdirkan tenggelam, biarlah ia pergi dengan selamat, sementara anak buahnya bolehlah dipelawa menyertai PAS atau Keadilan bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai itu.

Oleh othimbra

No comments: